Tercari-cari cara untuk menggayakan tudung bawal dengan gaya yang kreatif dan unik? Inginkan penampilan yang muda, riang dan menceriakan? Kalau itu yang anda cari, tutorial pada kali ini adalah solusinya. Tudung bawal yang anda miliki kini boleh membantu anda kelihatan lebih ceria dan muda.
Aksesori tambahan iaitu cekak rambut akan digunakan dalam gaya kali ini. Jika anda mempunyai banyak koleksi cekak rambut yang tidak dipakai selama ini kerana bertudung, kali ini anda bebas menggayakannya bersama tudung bawal kesayangan anda.
Penggunaan aksesori cekak rambut ini sudah tentu akan memberikan kecantikan dan tarikan tersendiri dalam gaya hijab anda. Meskipun demikian, gaya ini mungkin lebih sesuai untuk digayakan oleh gadis-gadis muda. Tanpa melengahkan masa lagi, mari kita lihat tutorial mudah dan hebat ini dengan segera.
Antara perkara yang diperlukan:
- Tudung bawal (kosong atau bercorak)
- Inner neck
- Cekak rambut
- Pin kerongsang
- Jarum peniti
Langkah-langkah:
- Pakai inner neck dengan kemas. Kemudian, letakkan tudung bawal di atas kepala anda. Bahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian yang pendek dan panjang.
- Bentukkan dulu tudung di bahagian muka. Setelah berasa puas hati dengan bentuk tudung di bahagian muka, sematkan pin kerongsang di bawah dagu dengan kemas.
- Pada langkah ini, tudung anda harus kelihatan seperti di dalam gambar. Betulkan kedudukan tudung untuk langkah seterusnya.
- Ambil hujung tudung di bahagian yang panjang dan bawa sehingga ke bahagian atas kepala seperti di dalam gambar. Sematkan jarum peniti ataupun kerongsang dengan berhati-hati.
- Betulkan alunan tudung yang terbentuk hasil lilitan tadi. Untuk gaya kali ini, bahagian tudung yang pendek tidak akan digunakan.
- Ambil cekak rambut pilihan anda dan pakai seperti biasa. Letakkannya dengan kemas dan pastikan anda berasa selesa dengan kedudukannya di atas kepala.
- Ini langkah penting yang harus anda lakukan. Lipat sedikit tudung bawal di bahagian belakang dan bawanya ke hadapan seperti di dalam gambar. Kemaskan lipatan tersebut agar kelihatan cantik dan rapi sebelum jarum peniti disematkan.
- Taadaa! Inilah hasil akhir penggayaan tudung bawal bersama cekak rambut. Kelihatan menarik bukan? Cubalah sendiri.
Tambahan cekak rambut dalam tutorial kali ini sememangnya menambah kelainan dan keunikan dalam fesyen seharian anda. Bagi mana-mana fesyenista Muslimah yang mungkin berasa bosan dengan pemakaian jarum peniti mahupun pin kerongsang sebagai aksesori, tutorial kali ini adalah sangat berbaloi untuk anda cuba. Bukan sahaja menjanjikan kelainan dalam penampilan akhir anda, malah menjadikan anda kelihatan muda, riang dan menceriakan.
Walaupun gaya ini sememangnya menarik dan unik, ia juga boleh kelihatan pelik dan kurang menarik sekiranya anda salah memilih cekak rambut. Pilihlah cekak rambut dengan corak yang menarik dan bersaiz kecil seperti di yang digayakan oleh model. Sekiranya anda ingin memakai cekak rambut dengan motif bunga, pilihlah rekaan yang tidak terlalu serabut dan sarat. Sederhana itu adalah lebih baik. Selain itu, elakkan juga dari memakai cekak rambut yang bergigi.
Gaya tudung bawal dengan cekak rambut ini juga bersesuaian untuk digayakan di mana-mana jua pada bila-bila masa. Sekiranya anda mempunyai banyak koleksi cekak rambut yang menarik, bolehlah anda menggayakannya sama ada ke kuliah, ke majlis-majlis istimewa mahupun bertemu rakan-rakan. Pilihlah rekaan cekak rambut mengikut kesesuaian tempat dan acara yang dihadiri agar penampilan anda itu tidak kelihatan pelik. Sebagai contoh, cekak rambut dengan motif bunga yang cantik dan berkilau mungkin boleh anda pakai untuk menghadiri majlis istimewa. Manakala, cekak rambut ringkas dan sederhana seperti yang dipakai oleh model ini boleh digayakan untuk acara-acara kasual.
Giliran Anda
Apa pendapat anda mengenai gaya unik ini? Adakah cukup menarik untuk anda cuba sendiri? Sekiranya anda mempunyai idea dan cadangan yang lebih menarik untuk dikongsikan bersama kami, hanya nyatakannya di bahagian komen di bawah.