Monday, August 17, 2015

Cara Pakai Tudung Bawal Tampil Anggun Di Majlis Istimewa


Bosan dengan pemakaian tudung bawal anda yang biasa? Tercari-cari idea mudah untuk menggayakan tudung bawal anda agar kelihatan ranggi dan anggun di majlis-majlis istimewa? Tutorial tudung bawal kali ini adalah mudah namun mampu menarik perhatian setiap mata untuk memandang anda. Gaya ini juga amat sesuai untuk si gadis yang ingin menghadiri majlis atau jamuan istimewa tetapi mempunyai masa yang singkat untuk bersiap.

Gaya ini bukan sahaja mudah dan menjimatkan masa, malah hasilnya pasti membuat anda kelihatan bergaya walaupun hanya dengan sehelai tudung bawal!

Antara perkara-perkara yang diperlukan:
  1. Tudung bawal (sama ada kosong atau bercorak)
  2. Inner neck
  3. Jarum peniti
Langkah-langkah:
Langkah pemakaian tudung bawal 1
  • Untuk menggayakan tudung bawal dengan gaya ini, pilih warna inner neck mengikut warna tudung bawal atau yang bersesuaian. Mulakan dengan langkah asas iaitu melipat tudung bawal menjadi segi tiga dan kemudian letakkan atas kepala. Untuk gaya ini, anda tidak perlu risau untuk menyamakan panjang kedua-dua bahagian tudung.
Langkah pemakaian tudung bawal 2

  • Kemaskan bahagian kepala dan setelah anda berasa puas hati, lipatkan sedikit bahagian atas tudung, terpulang kepada anda sama ada untuk melipat bahagian tudung sebelah kiri atau kanan. Lipat dengan kemas untuk hasil yang cantik. Ambil jarum peniti dan sematkannya dengan kemas.
Langkah pemakaian tudung bawal 3
  • Pastikan anda mendapat hasil seperti di dalam gambar. Kemaskan bahagian tepi tudung mengikut lipatan yang terhasil untuk langkah seterusnya.
Langkah pemakaian tudung bawal 4
  • Ambil bahagian hujung tudung mengikut lipatan bahagian atas tudung. Sekiranya anda melipat bahagian atas tudung sebelah kiri, ambil hujung tudung sebelah kiri dan bawa ke sebelah kanan. Tidak perlu terlalu tinggi, cukup pada aras telinga anda. Kemaskan bahagian alunan tudung dan kemudian sematkan dengan jarum peniti.
Langkah pemakaian tudung bawal 5
  • Setelah anda puas hati dengan hasil di sebelah kiri, mulakan di bahagian kanan dengan mengambil bahagian hujung dan membawanya ke belakang seperti di dalam gambar. Kemaskan dahulu alunan tudung, setelah berasa puas hati, pinkan. Sesudah langkah ini, kemas-kemaskan tudung dan alunan tudung tadi agar tidak kelihatan serabut.
Langkah pemakaian tudung bawal 6
Tadaaa! Inilah hasilnya. Mudah bukan? Tunggu apa lagi, cubalah!Anda juga boleh menambah atau menggunakan aksesori tambahan kegemaran seperti anting-anting besar untuk melengkapkan gaya ini. Namun, pastikan anda bijak memilih aksesori agar hasil keseluruhan tidak menjadikan anda kelihatan seperti seorang mangsa fesyen. Sekiranya anda menggunakan tudung bawal corak untuk gaya ini, pemakaian aksesori mungkin tidak diperlukan. Sederhana itu lebih baik bukan?
Untuk opsyen jarum peniti, pelbagai pilihan jarum peniti yang bergaya dan cantik yang boleh anda temui dan miliki sekarang. Anda boleh memilih jarum peniti yang cantik untuk hasil yang lebih elegan. Secara tidak langsung jarum peniti tersebut juga berperanan sebagai aksesori tambahan anda.
Gaya ini bukan sahaja mudah dan ringkas, malah juga fleksibel dan boleh digayakan oleh semua gadis di luar sana. Mungkin ada yang meminati gaya ini namun mematahkan hasrat untuk menggayakannya kerana tidak menutup bahagian dada. Usah risau, kerana anda boleh menyelaras saiz tudung bawal mengikut keselesaan anda pada langkah pertama.
Sekiranya anda gemarkan gaya mudah yang anggun dan ranggi ini, anda juga boleh menggayakannya pada bila-bila masa, sama ada di tempat kerja ataupun bertemu rakan-rakan. Pasti rakan-rakan anda tidak jemu bertanya cara untuk melakukannya dan turut teruja untuk mencuba gaya ini!

Share this

0 Comment to "Cara Pakai Tudung Bawal Tampil Anggun Di Majlis Istimewa"

Post a Comment