Bosan dengan gaya pemakaian selendang yang sama sahaja? Ingin mencuba gaya selendang terbaru dan terkini? Jika itu adalah apa yang anda cari, anda telah menemuinya dengan tepat di sini. Tutorial selendang kali ini bukan sahaja terkini di pasaran, malah ia juga sangat mudah untuk digayakan. Hasil akhirnya juga sudah tentu menarik dan menawan apabila digayakan. Oleh sebab saiz selendang yang panjang juga, tidak hairanlah apabila terdapat banyak gaya yang boleh dicipta oleh para hijabista yang kreatif dan bijak.
Usah kita berbicara dengan lebih banyak, mari lihat bersama-sama tutorial selendang terbaru yang sangat mudah ini dengan segera. Namun sebelum itu, anda perlu menyediakan perkara-perkara yang diperlukan seperti berikut:
- Selendang (kosong atau bercorak)
- Inner neck atau anak tudung
- Jarum peniti
Langkah-langkah:
- Terlebih dahulu pakai inner neck atau anak tudung dengan kemas. Setelah itu ambil selendang yang ingin digayakan dan letakkan di atas kepala dengan kemas.
- Seperti biasa, bahagikan selendang kepada dua bahagian iaitu yang panjang dan juga pendek. Terpulang kepada anda menentukan bahagian panjang dan pendek itu di sebelah kiri atau kanan. Setelah itu, perbetulkan bentuk selendang di wajah. Anda boleh memakai seperti model tutorial ini atau mengikut kehendak sendiri.
- Setelah berpuas hati dengan bentuk selendang di bahagian wajah, ambil bahagian selendang yang pendek tadi dan bawa ke atas kepala. Sebelum itu, lilit sedikit bahagian hujung tudung agar ia tidak mudah terjatuh. Selain itu ia juga bertujuan untuk menambah ‘volume’ pada gaya selendang ini.
- Pada langkah ini, ambil bahagian selendang yang panjang pula dan bawa ke arah bahu bertentangan untuk dililit.
- Lilit selendang panjang itu dengan longgar di sepanjang kepala, lilitan tersebut haruslah selari dengan bahagian pertama selendang dan menutup bahagian selendang pendek pada langkah 3 tadi. Kemudian bawa lebihan selendang panjang tadi ke bahagian hadapan dan biarkan.
- Setelah itu, ambil jarum peniti dan sematkan dengan kemas dan berhati-hati di bahagian sisi kepala.
- Sama seperti langkah 6, sematkan jarum peniti di bahagian sisi kepala yang satu lagi dengan kemas dan berhati-hati. Ini bertujuan untuk memastikan selendang itu cantik terletak dan tidak tertanggal.
- Rapikan lebihan selendang panjang yang dililit tadi mengikut cita rasa masing-masing. Betulkan alunan selendang yang terbentuk di kedua-dua bahagian sebagai kemasan terakhir.
- Vooilllla! Gaya selendang yang terkini dan sangat mudah ini sudah pun siap. Bagaimana dengan hasilnya? Menarik bukan? Selamat mencuba.
Jika anda inginkan hasil akhir gaya selendang ini sama seperti yang model gayakan, anda boleh melaraskan bentuk selendang pada wajah di langkah 2. Jika rasa ia tidak sesuai dengan bentuk muka anda, anda boleh mengolahnya mengikut bentuk yang anda inginkan.
Namun sebenarnya jika anda memiliki bentuk muka yang bulat, gaya ini dapat membantu menyembunyikannya dan memberi ilusi bentuk wajah yang panjang dan bujur. Hal ini kerana selendang tidak akan melekap di bahagian atas kepala yang mana menyerlahkan lagi bentuk wajah anda yang berbentuk bulat itu. Tetapi seperti yang dinyatakan sebelum ini, anda bebas mengikuti gaya ini mengikut kehendak anda.
Seperti kebanyakan gaya selendang yang lain, anda juga boleh memakai selendang dengan gaya ini ke mana-mana jua acara dan destinasi yang anda inginkan. Ia tetap menarik dan kelihatan profesional jika anda pergi ke pejabat mahupun menghadiri perjumpaan penting. Tidak ketinggalan juga jika anda hadir ke kuliah dengan gaya ini. Selain daripada itu, ia boleh kelihatan kasual jika anda keluar bersama sahabat handai mahupun keluarga untuk bersiar-siar ataupun beriadah. Jika menghadiri acara-acara istimewa atau berprestij, hanya tambahkan aksesori menarik yang bersesuaian dan anda sudah tampil jelita dan memukau di majlis tersebut. Di samping gayanya yang sangat mudah digayakan, ia juga bersesuaian dengan semua pilihan busana, anda bebas memakai pakaian-pakaian pilihan anda seperti baju kurung, blaus, kemeja-T, gaun mahupun jubah dengan gaya selendang terbaru ini.
Jika anda seorang fesyenista Muslimah yang berpendapat bahawa gaya selendang ini tidak menutup bahagian dada dengan sempurna, jangan berpaling dahulu kerana masalah tersebut boleh diatasi hanya dengan memakai selendang yang bersaiz labuh ataupun lebar. Anda boleh selaraskan labuh yang diinginkan pada langkah 4 dan 5. Mudah sahaja bukan? Kini anda pun boleh tampil menarik dan menawan di samping menjaga aurat dengan gaya selendang yang terbaru ini.
Giliran Anda
Sebagai penutup, apa pendapat anda mengenai gaya selendang terbaru ini? Adakah anda teruja untuk mencubanya pada keesokan hari? Ataupun jika anda mempunyai sebarang cadangan mahupun pendapat yang lebih menarik untuk dikongsikan bersama kami, nyatakan saja di ruang komen di bawah ini.
0 Comment to "Gaya Selendang yang Sesuai untuk Semua Bentuk Muka"
Post a Comment